Wednesday, June 2, 2010

PANTUN


Pantun merupakan satu puisi Melayu sejati. Pantun terpendek terdiri daripada dua baris yang mempunyai ikatan berirama dan mempunyai sebutan yang sama dihujungnya. Baris-baris ini pula boleh dikumpulkan menjadi empat, enam ataupun lapan baris. Jarang terdapat pantun yang melebihi lapan baris dan pada kebiasaannya pantun terdiri daripada empat barisan.
Pantun terbahagi kepada dua bahagian sama banyak rangkapnya, iaitu bahagian pembayang dan diikuti pula dengan maksud pantun. Bahagian pembayang bagi pantun empat kerat terdiri daripada dua ayat pembayang dan dua ayat maksud, dan bagi pembayang pantun lapan kerat adalah empat ayat pembayang dan empat ayat maksud dan demikianlah seterusnya.
CONTOH PANTUN

Kajang Pak Malau kajang berlipat
Kajang saya mengkuang layu
Dagang Pak Malau dagang bertempat
Dagang saya musafir lalu


Tuai padi antara masak
Esok jangan layu layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan


Burung nuri burung helang
Tidak sama terbang tinggi
Sekarang puteri berangkat pulang
Bila pula berjumpa lagi


Kain buruk tepi perigi
Dibuat orang pengesat belanga
Esok kita berjumpa lagi
Tunggulah Teja di taman bunga



Anak jantan anak temenggung
Pergi memburu sampai ke Gombak
Lalu berhenti mengutip petai
Berani buat, berani tanggung
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah ditepi pantai

No comments:

Post a Comment